Sunday, July 6, 2008

Apakah benar Rakyat Terengganu hidup selesa walaupun dibebankan dengan kenaikan harga minyak?


Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Chik, ketika balik negeri dan merasmikan program “kau Tetap dihatiku” berkata: Kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa memastikan rakyatnya berada dalam keadaan selesa, walaupun isu kenaikan harga minyak membebankan golongan terbabit.

Pelik juga, tetapi benar. Benar apa yang dikatakan itu, kerana rakyat yang ada 5 buah kereta pasti akan dapat “rebat tunai” sebanyak RM625 setiap sebuah, dicampur dengan lima buah, maka RM3,125 lah dapat duit satu tahun dan dicampur 4 tahun sudah pasti memperolehi sebanyak RM 13,000.

Itulah yang dikatakan rakyat berada dalam keadaan selesa. Manakala rakyat yang motosikal pula sudah pasti memperolehi sebanyak RM150 sebuah. Kalau lima buah sudah pasti memperolehi sebanyak RM 750 satu tahun. Kalau empat tahun sehingga pilihanraya umum ke 13 nanti sudah pasti setiap seorang akan memperolehi sebanyak RM 3,000.Banyak itu.

Barangkali inilah yang dimaksudkan oleh Datuk Ahmad Shabery Chik, bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) yang senonim dengan “barang naik” itu sentiasa memastikan rakyat berada dalam keadaan selesa walaupun kenaikan harga minyak yang terlalu tinggi itu membebankan.

Barangkali apa yang diperkatakan itu benar walaupun tidak munasabah didengar, kerana kebanyakan rakyat yang memperolehi rebat tunai sebanyak RM 625 itu, rata-rata sangat “berterima kasih” yang tidak terhingga kepada kerajaan. Malah kebanyakannya mengucap “syukur” kepada Allah Subha nahu wataala, tanda rahmat dan nikmat telah dikecapi.

Teringat penulis dengan slogan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang walaupun senonim dengan barang naik itu, disebut BN “beri nikmat” yang walaupun salah dari segi akidah, tetapi sekarang nampaknya sudah jadi realistik.

Bukan rakyat luar Terengganu sahaja yang dapat “nikmat” malah rakyat seluruh pelusuk negeri minyak ini turut mendapat nikmat, termasuk penduduk Kampung Semanyur, Kemasik, Kemaman yang hidup kais pagi makan pagi itu.

Kalau Dahulu, orang Terengganu hanya memperolehi wang ehsan sebanyak RM 300 setiap satu kepala dan para remaja yang berusia 21 tahun pula memperolehi sebanyak RM 600 setiap kali pilihanraya umum diadakan.

Tetapi sekarang ini ditambah lagi dalam bentuk “rebat tunai” sebanyak RM 150 satu tahun, di campur empat tahun, maka jadilah sebanyak RM 600 dan di campur RM 600, jadilah RM 1,200. Inilah bentuk bantuan yang diberi kepada rakyat Terengganu.

Sesungguhnya inilah yang membuat orang Terengganu duduk dalam keadaan selesa, walaupun harga minyak naik mendadak dan mungkin akan naik lagi. Ini juga boleh membuat rakyat yang mula kurang yakin dengan kerajaan akan menjadi lebih yakin lagi.

Datuk Ahmad Shabery Chik bukan sahaja meminta rakyat Terengganu jangan merungut kerana sudah berada dalam keadaan selesa, malah meminta supaya memberi sokongan padu kepada kerajaan yang memerintah sekarang.

Penulis boleh terima apa yang dikatakan itu, tetapi hakikatnya hampir semua yang ditemui baik di kedai-kedai kopi dan dalam majlis mesyuarat terutama sekali mesyuarat PIBG sekolah.

Rata-rata tidak boleh menerima akan seruan agar rakyat berada dalam keadaan selesa.Rakyat tetap merungut. Malah sudah ada suara sumbang mengatakan kerajaan bukan hendak tolong rakyat tapi sentiasa melaknati rakyat.

Rata rata mengatakan “kita dibebankan dengan harga minyak yang tinggi” walaupun ada rebat tunai yang diberikan oleh pihak kerajaan kepada rakyat yang mempunyai kenderaan.

Apa tidaknya. Harga barang keperluan asasi sudah pasti naik dipasaran, termasuk harga beras, sayur, ikan dan ayam.Pendek kata semua harga barang naik kerana kos pengangkutan bertambah mahal.

Tambang lori tiga tan yang memuat ikan dan sayuran naik. Kalau dahulu dari Kuantan ke Kuala Terengganu tambangnya RM500 satu trik, sekarang jadi RM 800 ratus. Lori 15 tan tambangnya RM1,500. Bayangkan.

Suara demi suara mengatakan “Menteri boleh cakap sedap, kerana mereka tidak terbeban walaupun di potong 10 peratus elaun keraian sebanyak RM 12,000 sebulan itu. Memang betul dan ada benarnya apa yang dikatakan itu.

Apalah sangat potongan 10 peratus itu kepada mereka. Tetapi rakyat yang hidup kais pagi makan pagi dan kais petang belum tentu dapat ini sangat terasa akan bebanan kenaikan harga barang.

Sesetengah mengatakan seorang menteri bil eleterik,air, talipon, minyak kereta semuanya ditanggung oleh kerajaan. Pendek kata hampir semua yang membabitkan menteri semua Free. Rakyat bergerak selangkah semuanya kena bayar.

Memang betul apa yang dinyatakan itu. jadi bagaimana rakyat boleh hidup dalam keadaan selesa kalau semuanya terpaksa dibayar. Sebab itu beberapa pakar ekonomi mengatakan isu harga minyak boleh menjejaskan usaha kerajaan membasmikan kemiskinan tegar.

Persoalannya bagaimana akan terjadi dengan angka 5.6 peratus penurunan kadar kemiskinan Terengganu. Apakah ia boleh bertahan lama sehingga pilihanraya umum ke 13 nanti.

Tidak dinafikan yang selesa tetap selesa,tetapi bangaimana yang yang hidup kais pagi makan pagi dan kais petang belum dapat. Apakah rakyat kelas ini juga turut selesa, sedangkan mereka tiada pendapatan tetap. Apa tah lagi kebanyakan mereka mendapat rebat tunai kerana masih berbasikal.

Cuba kita bayangkan seorang nelayan dan kebanyakan nelayan Terengganu hidup daif dan masih jauh untuk membebaskan dari belenggu kemiskinan. Juga kaum petani yang walaupun harga sayuran yang diusahakan “sikit naik” mereka masih berada dalam keadaan yang membebankan dan tertekan, lebih-lebih harga baja turut naik lima puluh peratus.

Jadi bagaimana rakyat boleh hidup selesa jika harga minyak masih tinggi berbanding dengan Negara-negara pengeluar minyak yang lain.