Thursday, September 10, 2009

Peribadi terpesong punca bukan Islam salah anggap

Oleh Rafidah Mat Ruzki
fidahruzki@bharian.com.my

ISU penjualan arak kepada masyarakat Islam di Selangor yang hangat diperdebatkan pelbagai pihak kebelakangan ini sebenarnya berpunca daripada tipisnya kefahaman mengenai Islam dan cara hidup Islam. Bukan saja soal meminum arak dan penjualannya, malah pelbagai soal lain, termasuk poligami dan kedudukan mualaf dalam Islam serta hubungan mereka dengan keluarga bukan Islam juga sering disalahertikan.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa mengakui keadaan itu menyebabkan lebih banyak perkara negatif diketahui masyarakat bukan Islam mengenai Islam berbanding kebaikan.

Beliau juga mengakui ada antara salah faham di kalangan masyarakat bukan Islam terhadap Islam dan cara hidup Islam, terbit daripada perilaku masyarakat Islam sendiri.
Katanya, ada antara masyarakat Islam gagal menjalani kehidupan mereka mengikut lunas dan ajaran Islam menyebabkan pandangan masyarakat bukan Islam terhadap agama itu terpesong.

"Akhlak dalam Islam penting tetapi ada orang Islam yang tidak ada akhlak Islam, sedangkan ada pula orang bukan Islam yang mempunyai akhlak Islam. Ada orang Islam yang menipu sedangkan ada pula orang bukan Islam yang tidak menipu dan berperibadi baik. Keadaan ini menyebabkan masyarakat bukan Islam terkeliru. Sepatutnya, akhlak Islam dilakukan mulai seseorang bangun hingga tidur semula," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menyedari berlaku salah tafsiran di kalangan masyarakat bukan Islam terhadap ajaran agama Islam, Mohamad Adzib berkata, Mais bercadang mengadakan forum antara agama dengan kerjasama Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) bagi membantu mereka memahami Islam dengan lebih jelas.
Forum itu bakal menjemput pemimpin agama lain serta tokoh korporat bukan Islam bagi memberi penerangan mengenai Islam dan hukum hakamnya selain boleh disertai orang ramai yang boleh bertanya apa saja.

"Kita juga akan panggil saudara baru dan mereka yang pakar dalam soal Islam untuk memberi penerangan selain bantuan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam.

"Antara perkara yang akan disentuh dalam forum itu termasuk Islam pada zaman nabi," katanya.

Sementara itu, pendakwah bagi Yayasan Maklumat dan Perkhidmatan Islam (IIF), Shah Kirit Kakulal Govindji, berkata pihaknya sudah beberapa tahun mengadakan dialog antara agama sama ada pada skala besar mahupun kecil membabitkan institusi pengajian tinggi dan jabatan agama.
Katanya, jumlah yang hadir lebih ramai iaitu antara 300 hingga 800 peserta beragama Islam dan bukan Islam jika dialog dijalankan dengan kerjasama institusi pengajian tinggi atau jabatan agama negeri.

"Pihak yang mahu menganjurkan forum atau dialog berkaitan agama perlu sensitif dengan kepelbagaian peserta dan kena buat mengikut peringkat. Antara tajuk yang boleh dibincangkan dalam sesi dialog yang besar termasuk konsep ketuhanan, kesahihan kitab suci, hak wanita, sains dan agama mengikut perspektif agama masing-masing.

"Dalam sesi dialog ini, peserta boleh mengemukakan soalan tetapi panel tidak akan menyentuh agama lain selain agamanya," katanya.

Bagaimanapun, katanya, sesi dialog yang lebih kecil membabitkan peserta antara 20 hingga 40 individu, lebih mengupas isu Islam dengan lebih mendalam dan peserta berpeluang menyatakan pandangan mereka serta perasaan tidak puas hati terhadap agama lain termasuk Islam.

Shah Kirit berkata, tujuan dialog diadakan sebenarnya adalah untuk memberi penerangan mengenai Islam dan memahami agama antara satu sama lain serta mengurangkan prejudis terhadap agama lain.

Katanya, mengekalkan keharmonian perpaduan penting kerana jika tiada usaha diambil untuk memperkukuhkannya, semua pihak akan kerugian jika berlaku pergaduhan antara agama.

Shah Kirit berkata, ada antara dialog mengenai Islam gagal disampaikan dengan berkesan kerana ahli panel, walaupun mempunyai pengetahuan mengenai Islam yang mendalam, tidak menguasai kemahiran untuk menyampaikan penerangan dalam bahasa yang mudah difahami masyarakat bukan Islam.

"Pendakwah dan ahli panel perlukan kemahiran untuk menyampaikan ajaran Islam dalam cara yang rasional dan menggunakan bahasa yang mudah difahami masyarakat bukan Islam,” katanya.

2 comments:

ana said...

Orang bukan Islam memang begitu kerana mereka tidak mendapat hidayah dari Allah SWT.

Orang yang tidak diberi hidayah sudah tentu bertindak demikian.

Demikian juga dengan orang Islam. Jika tidak diberi hidayah oleh Allah SWT manalah mereka faham dengan islam.

Allah sebut orang yang diberi hidayah ialah orang orang yang beriman sahaja.

Oleh itu jangan diharap orang yang tidak beriman mendapat hidayah Allah.

Maka mana mungkin orang bukan Islam faham dengan islam yang syumul.

Mereka faham dengan Islam sekular dan islam lebaralisme.

Islam jenis ini boleh apa sahaja asalkan dapat hidup mewah diatas muka bumi Allah ini.

abdullahngah said...

Kalau orang bukan Islam faham Islam sudah tentu dia masuk Islam.

Macam Dr Ridhuan Tee Abdullah, Ustaz Mohd Farid Ravi Abdullah dan ustaz Idham Abdullah.

Mereka ini faham Islam diberi pertunjuk oleh Allah SWT.

Soal faham dan pertunjuk ini bukan tugas pendakwah. Juga bukan tugas Rasulullah SAW.

Kalau Rasulullah SAW boleh beri hidayah dan pertunujuk kepada manusia sudah tentu bapa saudaranya masuk Islam.

Malang sekali bapa saudaranya mati sesat.

Saidina Umar masuk Islam kerana faham Islam dan didoakan oleh Rasulullah SAW.

Sekarang ini macam mana orang bukan Islam hendak faham dengan Islam sedangkan orang yang mengaku Islam pun tidak faham islam.

Bukan satakat itu sahaja, malah ada orang Islam yang mengaku aku Islam, tetapi mempersenda sendakan Islam.

Kalau mereka faham islam mereka tidak minum arak, tidak makan riba tidak makan rasuah.

Sebab itu? minum arak itu masuk neraka. Makan riba itu masuk neraka makan rasuah itu masuk neraka.

Banyak ayat yang dinyatakan oleh Allah dalam Al Quran. Tapi mereka buat juga dan mengulanginya hingga jadi ketagih.