Saturday, October 13, 2018

Ada yang kata molek jika tidak menghukum


Penulis boleh setuju jika kes itu kes tidak sahih (tak sabit) dan sangat tidak bersetuju jika kes itu kes yang sahih (sabit).

Hari ini nampak dengan jelas kebanyakan orang Islam bersetuju tidak menghukum dari menghukum, hatta dalam perkara yang sahih sekalipun.

Pendapat yang mengatakan lebih baik tidak menghukum dari menghukum menjadi popular apabila kerajaan Malaysia bertukar tangan selepas PRU 14 (mei 2018).

Bukan setakat lebih baik tidak menghukum dari menghukum, malah lebih baik tidak mencegah dari mencegah ,tidak boleh bertindak tehadap umat Islam yang melakukan khalwat.

Yang mendukacita kita, bertindak menangkap mereka melakukan khalwat disifatkan sebagai tindakan yang kasar dan ganas yang bercanggah dengan sifat Rasulullah SAW yang penuh dengan kasih sayang.

Bermakna Rasulullah SAW sayang (tidak benci) dengan umatnya yang melakukan khalwat (maksiat), Pada hal Rasulullah sangat benci dengan mereka yang melakukan maksiat.

Maka sesungguhnya hari ini ada pendapat yang mengatakan, sangat tidak baik menangkap mereka yang melakukan khalwat.

Wajarkah Rasulullah SAW telah dilabelkan sebagai “sayang” dengan mereka yang buat maksiat.

Mengaitkan  Rasulullah SAW tidak benci dengan mereka yang melakukan maksiat, lantas ada pendapat yang mengatakan, kita tidak boleh benci dengan mereka yang melakukan maksiat.

Kita kena benci dengan maksiat itu, bukan benci dengan mereka yang melakukan maksiat.Itu baru bersesuai dengan Islam sebenarnya, termasuk membiarkan pesta ibu segala maksiat di adakan.

Sesungguhnya sangat zalim kita mengatakan Rasulullah SAW sedemikian rupa, sedangkan Rasulullah SAW pernah berkata, yang maksudnya : “Jika Fatimah anakku mencuri nescaya aku potong tangannya”.

Jika tidak boleh menghukum dan lebih baik tidak menghukum mereka yang melakukan dosa seperti zina, minum arak dan mencuri, mengapa Allah mengadakan undang undang khasussiah untuk menjatuhkan hukuman terhadap penjenayah tersebut.

Untuk apa diadakan undang undang khususiah itu? Sudah tentu untuk mencegah mereka yang lalai dengan perintah Allah SWT serta untuk menyelamatkan umat Islam dari dihumbangkan kedalam neraka.

Sesungguhnya undang undang yang diturunkan Allah SWT itu untuk menjaga agama, menjaga nyawa,menjaga akal dan fikiran, menjaga keturunan dan menjaga harta.

Firman Allah yang mekasudnya: “Dan hendaklah engkau menjalankan hukum diantara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka dan berjaga jagalah supaya mereka tidak memesungkan engkau dari sesuatu hukum yang diturunkan oleh Allah kepada mu” (surah Al Maidah ayat 49)

Hukuman hudud, qisas, diyat dan takzir diperuntukkan dalam qanun jenayah syariah adalah bertujuan untuk menjaga prinsip perundangan Islam/perundangan syarak yang tertakluk sepertimna lima perkara yang disebut atas.

Menjaga agama, iaitu menjaga aqidah orang orang Islam supaya tidak terpesung aqidah mereka itu dari aqidah yang sebenar, iaitu tidak menjadi orang murtad yang wajib dijatuhkan hukuman bunuh keatas mereka itu, jika mereka enggan bertaubat setelah mereka disuruh bertaubat lebih dahulu sebelum mereka dibunuh
Sabda Rasulullah SAW yang maksudnya:” sesiapa yang menukar agamanya (murtad) maka bunuhlah dia” (Riwaayat Bukhari)

Menjaga nyawa, Iaitu menjaga jiwa seseorang dari dibunuh termasuk juga menjaga anggota tubuh badan seseorang, iaitu memberi seseorang manusia hak hidup dan selamat anggota tubuh badan dari dicederakan dan dirosakkan, dimana mereka yang membunuh atau mencederakan anggota tubuh badan orang lain dengan sengaja wajib dijatuhkan hukuman qisas atau diyat.

Firman Allah yang maksudnya:” Dan didalam hukum qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang orang yang berakal fikiran supaya kamu bertakwa” (surah al-Baqarah ayat 179)
Menjaga akal fikran, menjaga akal fikiran manusia dari kerosakan disebabkan minum arak atau minum minuman yang memabukkan, dimana mereka yang minum arak wajib di jatuhkan hukum sebat tidak lebih daripada 80 kali sebatan dan tidak kurang dari 40 kali sebatan.

Sabda Rasulullah SAW yang maksudnya: “ Rasulullah SAW telah menyebat orang yang minum arak sebanyak empat puluh kali sebat, dan Saidina Abu Bakar telah menyebat empat puluh kali sebat juga dan Saidina Umar menyebat sebanyak lapan puluh kali sebat, semuanya adalah sunnah Rasulullah SAW dan ini lebih aku sukai” (Riwayat Muslim)

Menjaga keturunan, menjaga seseorang manusia dari melakukan perzinaan supaya nasab keturunan, perwalian dan perwarisan anak anak yang lahir hasil dari persetubuhan haram itu tidak rosak, dimana mereka yang melakukan perzinaan itu wajib dijatuhkan hukum sebat dan rejam.

Rasulullah SAW dalam hadisnya yang diriwayatkan daripada Ubaidah bin Al Somit (RA) yang maksudnya “Ambillah peraturan daripada aku, ambillah peraturan daripada aku, sesungguhnya Allah telah memberi jalan untuk mereka. Perawan sama jejaka yang berzina hukumannya disebat sebanyak 100 kali sebat dan dibuang negeri selama setahun.janda sama janda berzina hukumannya disebat 100 kali sebat dan rejam” (riwayat Muslim dan Abu Daud)

Menjaga harta, menjaga harta manusia dari dicuri dan dirompak dengan menjatuhkan hukuman potong tangan keatas  pencuri, dan menjatuhkan hukuman mati atau potong tangan kaki keduanya sekali atau dibuang negeri keatas perompak. Hukuman itu tertakluk kepada cara rompakan yang dilakukan.

Firman Allah yang maksudnya: “Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri, maka hukumannya potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, juga sebagai suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah maha kuasa lagi maha bijaksana” (surah sl-Maidah ayat 38).

Firman Allah yang maksudnya: “ Hanya sanya balasan orang orang yang memerangi Allah dan Rasulnya serta melakukan bencana kerosakan dimuka bumi (melakukan keganasan merampas dan membunuh orang orang dijalan) ialah dengan balasan bunuh (kalau mereka membunuh sahaja dengan tidak merampas) atau dipalang (kalau mereka membunuh dan merampas), atau dipotong tangan dan kaki mereka dengan berselang (kalau mereka merampas sahaja) atau dibuang negeri (kalau mereka hanya menganggu ketenteraman awam). Hukuman yang demikian itu adalah suatu kehinaan didunia bagi mereka, dan diakhirat kelak mereka beroleh azab seksa yang amat besar.” (surah al-Maidah ayat 33).

Allah SWT sendiri menyatakan bahawa hukuman yang dijatuhkan kepada mereka yang memerang Allah dan Rasulnya itu adalah suatu kehinaan didunia bagi mereka.

Yang peliknya para pemimpin Negara Malaysia baru yang mengaku beragama Islam sangat tidak bersetuju rakyat mereka yang melakukan maksiat dihina dan diaibkan, sedangkan Allah menegaskan hukuman tersebut adalah hukuman kehinaan keatas mereka yang melakukan jenayah Islam.

  


No comments: